Peniaga Maut Ditembak Secara Dekat


Seorang peniaga kedai makan yang asyik bermain dam bersama rakan mati ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di depan kedainya di Kampung Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, dekat sini malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, ditembak dua das di bahagian rusuk sebelum meninggal dunia 15 minit kemudian ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurut isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, semasa kejadian, dia membuat kuih di dapur kedainya dan sempat melihat suaminya bergelak ketawa bersama rakan berusia 51 tahun ketika bermain dam sebelum terdengar bunyi dua das tembakan.

Pada mulanya, dia menyangka bunyi mercun tetapi rupa-rupanya suaminya yang dikenali dengan panggilan Pok Ya Bulan terkena tembakan dan rebah dengan berlumuran darah.

Menurut beliau lagi, ketika kejadian, ada dua pelanggan menonton televisyen di dalam kedainya dan suaminya berada di bahagian depan premis itu bersama seorang rakan manakala dua anak mereka berada di dalam rumah di situ.

Dia tidak mengetahui motif sebenar suaminya dibunuh sedemikian rupa kerana setahunya, mangsa tidak mempunyai musuh atau berhutang dengan sesiapa.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek muncul bersama dua rakannya menaiki sebuah kereta sebelum bertanya tentang mangsa.

"Sejurus disapa suspek, mangsa menjawab bahawa dialah individu yang dicari sebelum mempelawa suspek turun dari kenderaan untuk minum di kedainya.

"Pada ketika itulah, suspek bertindak melepaskan dua das tembakan dari jarak tiga meter ke arah mangsa sebelum melarikan diri," jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen (302) Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek yang dipercayai rakyat tempatan sedang diburu polis.


Sumber - Utusan Malaysia
Peniaga Maut Ditembak Secara Dekat Peniaga Maut Ditembak Secara Dekat Reviewed by Kedai Semasa on 5:07 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.