Kecermelangan Eden Hazard


Bintang baru Chelsea, Eden Hazard terus mempamer aksi cemerlang selepas mencipta gerakan untuk tiga daripada empat empat gol yang diperoleh pasukannya ketika menumpaskan Reading 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.


Ini adalah kemenangan kedua The Blues dalam saingan musim baru selepas menewaskan Wigan 2-0, minggu lalu. Dua jaringan lewat minit Fernando Torres dan Branislav Ivanovic memastikan Chelsea mengungguli takhta liga biarpun juara Eropah itu suatu ketika ketinggalan 1-2 ketika saingan berbaki 20 minit. Dua lagi gol disempurnakan oleh Frank Lampard menerusi penalti pada minit ke-18 dan Gary Cahill.

Pengendali Chelsea, Roberto di Matteo bagaimanapun mengakui pasukannya bernasib baik berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Reading, apatah lagi jaringan Torres dilihat kontroversi kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Sebaliknya, Hazard yang dibeli dari Lille sekali lagi meraih tumpuan apabila menjadi pencetus kepada tiga jaringan bergaya Chelsea.

Di Matteo yakin bahawa pemain antarabangsa Belgium itu mula mendapat rentak selepas berganding dengan Juan Mata di bahagian tengah dalam dua perlawanan. The Blues kini meraih enam mata maksimum daripada dua perlawanan namun melihatkan permainan Reading, skuad bimbingan Matteo itu masih mempunyai banyak kelemahan di bahagian pertahanan yang perlu diperbaiki.

"Keseimbangan adalah perkara terpenting dalam pasukan. Memang menarik apabila melihatkan ramai pemain berskil tinggi serta dapat memenangi perlawanan tetapi dalam masa sama semua bahagian perlu seimbang."

"Saya tetap rasa pertahanan kami masih berada dalam keadaan baik kerana pada perlawanan pertama kami menang tanpa sebarang bolos."

"Reading bermain baik dapat menjaringkan gol tetapi kami dapat menjaringkan enam gol dalam dua perlawanan. Kami perlu sentiasa menyerang dan bertahan dengan baik, itu adalah cara meraih kemenangan, " kata Di Matteo.

Ditanya mengenai Hazard, dia berpuas hati dan melihat kehadiran pemain itu telah mula memberi impak kepada pasukan. - Reuters


Sumber - Utusan Malaysia
Kecermelangan Eden Hazard Kecermelangan Eden Hazard Reviewed by Unknown on 9:13 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.